BeBeBows.com on Facebook
    Berita Harian 2010
    CIPTAAN SENDIRI: Cik Noor Leza dapat menghasilkan sendiri pelbagai corak cekak rambut bagi bayi. Salah satu daripadanya 'diperagakan' oleh anaknya, Desarae Ilana Parker. -- Foto TAUFIK A. KADER

    5 Mac 2010

    EKONIAGA

    Keinginan hiasi bayi sendiri bawa kejayaan niaga di Internet

    Sambutan hangat beri keyakinan kepada ibu muda teruskan usaha

    Oleh
    Nur Syirain Hamzah

    SEPERTI ibu-ibu muda lain, Cik Noor Leza Mohamed Nor, 25 tahun, ingin menghiasi bayi perempuannya, Desarae Ilana Parker, dengan pelbagai aksesori menarik.

    Namun, beliau mendapati tidak banyak aksesori seperti cekak rambut yang dijual. Lantas, berbekalkan idea dan kreativiti, Cik Leza memulakan perniagaan dalam talian yang dikenali sebagai Bebebows.

    Nama itu dipilih kerana beliau pasti keunikannya yang mudah diingati itu akan dapat menarik perhatian para pelanggannya.

    Setiap aksesori kepala Bebebows mempunyai corak serta reka bentuk berbeza yang dibuat sendiri oleh Cik Leza.

    Cekak rambut itu menggunakan kain seperti organza dan gross-grain yang ditempah khas dari Amerika Syarikat. Terdapat juga aksesori seperti reben dan kupu-kupu yang menghiasi cekak rambut itu. Malah ia bukan sahaja untuk bayi bahkan kanak-kanak.

    Cik Leza telah pun melancarkan koleksi pertamanya pada Oktober tahun lalu. Sebagai permulaan, beliau memperkenalkan produknya kepada rakan-rakan serta kenalannya.

    Dalam tempoh tujuh hari, beliau meraih penjualan $1,000 dan 1,000 corak dalam tempoh tiga bulan. Purata harga satu cekak rambut ialah $12.

    Sambutan hangat yang diterima lebih meyakinkannya dengan perniagaannya itu, lebih-lebih lagi beliau juga mendapat sokongan suaminya, Encik Paul Desmond Parker, atau nama Islamnya Abdul Halim Abdullah, 32 tahun, seorang tutor sepenuh masa.

    Apabila ditanya Ekoniaga tentang cabaran yang dihadapi, Cik Leza berkata:

    'Sukar bagi saya membahagikan masa memandangkan saya juga tutor sepenuh masa. Oleh itu, saya terpaksa mengorbankan masa tidur untuk menghasilkan lebih banyak reka bentuk baru. Tambahan pula, saya juga harus membalas e-mel dan mengemaskini blog Bebebows agar pelanggan dapat mengikuti perkembangannya.'

    Untuk menarik lebih banyak pelanggan, Cik Leza menggunakan laman web sosial Facebook untuk mempromosikan produknya. Selain itu, beliau mengadakan jualan di rumahnya sebulan sekali. Diskaun 50 peratus diberikan kepada para pelanggan yang kebanyakannya ibu-ibu muda Melayu dan Cina.

    Kini, produknya mendapat tempat di beberapa kedai dalam talian lain serta beberapa butik runcit di Katong Mall dan Parkway Centre. Malah, Cik Leza sudah mula menerima tempahan dari Australia hampir setiap hari.

    Beliau juga sudah mula menjual produk lain seperti pettiskirt dan tutu.

    Walaupun produknya mendapat tempat di hati para pelanggan, Cik Leza lebih gemar meneruskan perniagaannya secara dalam talian.

    'Perniagaan secara dalam talian dapat memastikan kos pengeluaran kekal rendah. Kos untuk menyewa sesebuah tempat bagi jangka pendek terlalu mahal. Selain itu, saya harus mengambil pekerja dan ini akan meningkatkan kos pengeluaran. Namun, saya akan tetap mempertimbangkan idea menyewa sebuah tempat kecil seandainya tempahan produk ini melebihi 3,000 sebulan,' jelasnya.

    Cik Leza juga bakal mengadakan bengkel 'DIY Bebebows' untuk para ibu yang ingin belajar cara mudah menghasilkan dan mempromosikan produk mereka.

    Bayaran $75 akan dikenakan kepada peserta bengkel yang akan diadakan selama dua jam. Maklumat lanjut mengenai bengkel ini boleh didapati di laman www.bebebows.com


    BeBeBows
    Hougang Ave 8, Singapore
    Phone: 65.86125597
    Email: leza@parker.per.sg

    Powered By: create a website: easy website builder